29.2.12

PROGRAM KREATIVITI DAN INOVASI

Program Kreativiti dan Inovasi PPAKKUM sesi 2011/12 telah berlangsung pada 18hb November 2011 bersamaan hari Jumaat di Auditorium, Fakulti Pendidikan. Sebagai makluman kepada kalian, ia merupakan program yang diadakan oleh Persatuan Pendidikan Awal Kanak-kanak Universiti Malaya (PPAKKUM) buat kali yang pertama. Sebagai pengarah program, saya berasa amat bangga dan amat berterima kasih kepada ahli jawatankuasa yang memberi komitmen yang tertinggi untuk menjayakan program tersebut. Di samping itu, saya juga ingin merakamkam sekalung penghargaan kepada mentor persatuan, pegawai pengriring, MT dan EXCO, pemantau program, ahli peserta yang terlibat secara langsung ataupun tidak langsung untuk menjayakan program tersebut.


Program Kreativiti dan Inovasi merupakan satu program mega yang dianjurkan oleh Persatuan Pendidikan Awal Kanak-kanak dan merupakan satu usaha yang murni dalam memperkembangkan lagi bakat seni para mahasiswa dan mahasiswi. Seni yang dilihat sangat meluas konteksnya kerana definisinya bukan sahaja pada bakat yang ditonjolkan malah turut menyumbang kepada perkembangan seseorang individu secara holistik. Di samping itu, projek ini juga adalah untuk merapatkan hubungan di antara warga pendidik awal kanak-kanak serta melahirkan daya saing yang sihat.

Tema pada kali ini merupakan “Creative Building A Better Tomorrow” yang membawa pelbagai maksud yang tersirat dan tersurat. Hal ini kerana, kreativiti dan inovasi yang ada dalam seseorang mahasiwa dan mahasiswi itu mampu menyebabkan mereka berjaya dengan cara yang lain daripada yang lain. Perbezaan sebegini memberi peluang kepada pihak lain untuk sedar dengan keunikan dan keistimewaan fikiran yang ada pada setiap pendidik yang bergraduasi dari Fakulti Pendidikan Universiti Malaya terutamanya bidang Pendidikan Awal Kanak-kanak untuk menghasilkan bahan bantu mengajar (BBM) yang lebih memberangsangkan daya pemikiran dan pembelajaran anak murid.
Pemarkahan diberikan berdasarkan kriteria berikut:

Fungsi dan peranan BBM
· Mencapai matlamat dan objektif pengajaran
· Potensi dalam aspek perkembangan kanak-kanak (fizikal, sosial, emosi dan intelek)
· Penerapan nilai-nilai murni dalam pembelajaran
· Potensi memberi peluang untuk penerokaan persekitaran
· Dapat meningkatkan pemahaman murid
· Dapat meningkatkan interaksi antara guru dengan murid
· Bekalkan peluang pembelajaran yang menyeronokan
· Praktikal dan mudah digunakan
Kreativiti
· Merupakan penghasilan baru/ original
· Kepelbagaian cara penggunaan karya
· Kesesuaian gambar, corak dan warna dengan peringkat umur kanak-kanak yang dicadangkan.
Penggunaan Bahan
· Ketahanan / kelasakan BBM
· Keselamatan untuk digunakan
Ketelitian / kemasan
· Kesesuaian penggunaan karya kepada kanak-kanak di Malaysia
· Kekemasan seluruh karya
Cara Penyampaian
· Penggunaan bahasa yang sesuai
Slaid Pembentangan
· Gambar sebelum, semasa dan selepas karya dihasilkan
· Isi kandungan yang bersesuaian dengan karya

Warga Fakulti Pendidikan yang berminat untuk menyertai program ini diminta untuk membayar RM100 (Setiap kumpulan) dan terdapat 4 kumpulan yang mengambil bahagian pada hari tersebut. Kumpulan-kumpulan telah menunjukkan kreativiti dan inovasi masing-masing dalam aspek penggunaan bahan ataupun prinsip teknologi. Model yang ditunjukkan oleh kumpulan senior ini memang boleh dijadikan sebagai teladan kepada junior agar sentiasa berdedikasi untuk berday saing manakala penyertaan individu daripada junior tahun satu juga amat disanjung tinggi kerana saudari memang menunjukkan semangat yang tinggi.

Setiap kumpulan yang menyertai dalam pertandingan ini mendapat piala penghargaan, hamper, sling bag, makan tengah hari serta goodies bag (majalah dan bahan Global Art). Di samping itu, kumpulan yang mendapatkan temapat pertama, kedua dan ketiga juga telah menerima wang tunai iaitu RM850(tempat pertama), RM 350(tempat kedua) dan RM150(tempat ketiga). Setiap peserta juga akan mendapatkan sijil penyertaan selepas program. Walaubagaimanapun, setiap tetamu dan peserta juga mendapatkan makanan ringan secara percuma pada waktu rehat.

Akhirnya, Program Kreativiti dan Inovasi PPAKKUM sesi 2011/2012 diharapkan dapat menjadi satu platform kepada warga fakulti pendidikan untuk meluahkan ekspresi seni yang ada di dalam diri mereka di samping dapat memperkembangkan bakat masing-masing. Program ini juga diharap mampu menjadi satu titik permulaan pada hubungan yang baik serta saingan yang sihat sesama pelajar-pelajar Sarjana Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak. Dengan adanya rangsangan yang sihat ini untuk memberi peluang mahasiswa dan mahasiswi untuk menghasilkan bahan bantu mengajar (BBM) yang lebih berkualiti, diharapkan mutu pengajaran di negara kita dapat dipertingkatkan lagi.