17.5.18

MISI KEMASYARAKATAN DAN PENDIDIKAN SESI 2017/2018

Program Misi Kemasyarakatan dan Pendidikan sesi 2017/2018 ini merupakan salah satu program di bawah Persatuan Pendidikan Awal Kanak-Kanak Universiti Malaya (PPAKKUM). Ini merupakan kali keempat program yang berkonsepkan khidmat masyarakat diadakan di mana ianya dikenali sebagai Program Dekorasi Tabika Kemas dan Khidmat Masyarakat (DEKIM) pada sesi-sesi sebelum ini. Program Misi Kemasyarakatan dan Pendidikan (MiKP) merupakan ilham yang diperoleh daripada program DEKIM sebelum ini, di mana pada kali ini ianya menampilkan kelainan dengan menggabungkan aktiviti khidmat masyarakat dengan program berbentuk pendidikan yang akan diadakan bersama murid-murid tadika KEMAS Kampung Gerachi Jaya Kuala Kubu Bharu, Selangor. Program ini melibatkan mahasiswa/i yang merupakan ahli Persatuan Pendidikan Awal Kanak-Kanak sendiri. 


Program Misi Kemasyaratan Dan Pendidikan ini juga dapat merapatkan lagi mahasiswa/i dengan masyarakat desa serta memberi peluang kepada mereka untuk menimba pengalaman daripada program yang dianjurkan ini. Tambahan lagi, program ini dapat memupuk mahasiswa/i bergiat aktif dalam aktiviti kemasyarakatan, memahami adat resam dan budaya masyarakat setempat serta membuka ruang kepada mahasisiwa/i untuk menyumbang idea kreativiti melalui aktiviti yang diadakan bersama murid-murid tadika dan masyarakat desa.  Selain itu, program ini berupaya untuk menjadi medium kepada mahasiswa/i dalam melaksanakan aktiviti berbentuk pendidikan kepada murid-murid tadika dengan menganjurkan aktiviti yang berkonsepkan pendidikan pada tahap awal kanak-kanak seperti aktiviti bercerita, pertandingan mewarna, pendedahan mengenai pengurusan serta penjagaan kebersihan diri dan lain-lain lagi.