11.10.11

Dekorasi Tabika KEMAS Daerah Lipis, Kampung Kuala Kechau

Nama Program: Dekorasi Tabika KEMAS Daerah Lipis
Tempat Program: Tabika KEMAS Kampung Kuala Kechau
Tarikh Program: 23 - 25 September 2011
Tema Program: Transformasi Ke arah Pemantapan Awal Pendidikan


Program Dekorasi Tabika KEMAS di Daerah Lipis, Pahang ini merupakan salah satu dari aktiviti yang dianjurkan oleh Persatuan Pendidikan Awal Kanak-Kanak Universiti Malaya (PPAKKUM). Program ini melibatkan 80 mahasiswa yang terdiri daripada ahli Persatuan Pendidikan Awal Kanak-Kanak sendiri dan ia merupakan program kesinambungan daripada Program Mahasiswa Bersama Masyarakat Desa Sesi 2010/2011 yang telah diadakan di Kampung Kuala Kechau, Kuala Lipis, Pahang, pada 21 Januari 2011 hingga 23 Januari 2011.

Kesinambungan daripada program tersebut, satu bangunan tabika akan dibuka hasil perbincangan masyarakat desa, mentor persatuan Prof. Madya Dr. Mariani Md. Nor dan pihak Exco Kerajaan Negeri Pahang. Aktiviti susulan yang melibatkan pelajar dari Persatuan Pendidikan Awal Kanak- Kanak adalah pembinaan susun atur dalam dan luar bangunan Tabika Kemas Kampung Kuala Kechau serta pembentukan ‘playground’ bagi tabika tersebut. Tabika Kemas ini akan dirasmikan pembukaannya pada 25 September 2011 ini. Program ini juga berbentuk integriti luar yang berkonsep dan bermatlamatkan perpaduan serta semangat kerjasama dalam kalangan pelajar Pendidikan Awal Kanak-Kanak (PAKK) dengan kakitangan KEMAS Daerah Lipis bersama masyarakat desa Kampung Kuala Kechau. Program ini dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Pengangkutan, dan Pertumbuhan Negeri dan Ahli Dewan Undangan Negeri Benta Datuk Ir. Mohd. Soffi Abdul Razak.

Pastinya, program ini diadakan bertujuan untuk memupuk dan mengukuhkan kemahiran insaniah mahasiswa dengan aktiviti yang berfaedah dan memberi banyak manfaat kepada semua pihak terutama masyarakat sama ada secara langsung atau tidak langsung. Di samping itu, program ini dapat mendekatkan mahasiswa dengan masyarakat KEMAS khususnya dalam berkongsi ilmu dan pengetahuan berkaitan bidang pendidikan awal kanak-kanak selaras dengan pihak KEMAS sendiri yang merupakan sebuah jabatan yang turut sama memperjuangkan pendidikan di peringkat awal kanak-kanak. Melalui program seumpama ini, ia juga dapat membina ukhwah mahasiswa dengan masyarakat setempat, luar dari dunia kampus serta memberi peluang kepada mahasiswa untuk menimba pengalaman daripada program yang dianjurkan ini.

Disini adalah link keratan akhbar UTUSAN online yang memaparkan berita mengenai pembukaan Tabika di Pahang. KLIK DISINI





















0 comments: